Saya menonton video pesara yang dipukul oleh penunggang motor. Banyak komen-komen saya baca. Ada maklumkan isu tercetus kerana provokasi terhadap penunggang motor dan macam-macam cerita.
Saya tidak tahu fakta, siapa mulakan dan adakah benar dakwaan provokasi tetapi yang jelas daripada video-video tersebut bahawa lelaki yang menyerang itu kelihatan panas baran dan tidak sabar.
Perbuatan menyerang itu salah. Kalau melihat video pukulan itu, benar-benar lelaki tua itu dilanyak, dipukul dan diserang. Ini jelas adalah kesalahan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang. Boleh dihukum denda ata penjara atau kedua-duanya sekali.
Pada masa yang sama, saya hendak juga kongsikan hak mangsa yang dicederakan dan dikasari. Bukan sahaja boleh membuat laporan polis, malahan boleh menuntut di mahkamah bagi ganti rugi ‘assault and battery’ atau serang dan serang sentuh
Saya hendak kongsi satu laporan kes yang diputuskan di Mahkamah. Bila saya terbaca kes LOGASWARY [2021] 1 SMC 1, kes ini adalah contoh bahawa tidak berbaloi langsung melayan nafsu marah.
Bukan sahaja perlu menghadap tuduhan jenayah kerana satu penampar ganti rugi sehingga RM13,000 dan kos sebanyak RM1,575.
Dalam kes ini Logaswary, iaitu orang yang menyaman (Plaintif) adalah seorang guru, Defendan pula ibu kepada murid. Defendan menampar Logaswary kerana marah suaminya disuruh beredar dari khemah murid dalam temasya sukan sekolah.
Akibat tamparan tersebut, Logaswary mengalami ‘soft tissue injury’, biasanya ini bermaksud bengkak-bengkak. Namun Defendan tidak mengaku ada menampar Logaswary tetapi menuduh kononnya Logaswary menampar anaknya dan menuntut ganti rugi.
Jadi sewaktu di mahkamah, Logaswary memanggil saksi yang melihat dia ditampar. Malahan Plaintif turut mengemukakan saksi seorang doktor dan mengesahkan bahawa Plaintif mengalami ‘soft tissue injury’.
Mahkamah Majistret memutuskan jumlah yang dibenarkan bagi kecederaan soft tissue injury adalah antara RM3,000 hingga RM5,000. Oleh yang demikian, ganti rugi RM3,000 dibenarkan.
“..Manakala untuk ganti rugi keterlaluan, walaupun tiada bukti gangguan emosi atau perubatan ditanggung akibat malu dikemukakan oleh plaintif, RM10,000 dibenarkan”- petikan laporan kes.
Secara keseluruhannya jumlah tuntutan yang dibenarkan adalah RM13,000 dan kos sebanyak RM1,575. Ganti rugi Defendan yang kononnya Logaswary menampar anaknya ditolak kerana tidak berjaya dibuktikan.
Bagi tuntutan serang dan serang sentuh ini, semuanya tertakluk kepada fakta kes dan jenis kecederaan. Jika kecederaan lebih serius misalnya patah gigi, jahitan dan lain-lain. Nilai tuntutan lebih tinggi dan kadar kiraannya sama seperti kecederaan tubuh badan dalam kes kemalangan.
Saya lihat ada yang komen cuba memberi justifikasi tindakan lelaki ini menyerang. Faktanya pun kita tidak tahu, benar atau tidak dakwaan lelaki ini bahawa pesara tersebut menunjuk isyarat lucah. Hanya penceritaan.
Tetapi yang nyata kita semua dapat lihat bagaimana lelaki pesara ini dibelasah. Kita ada undang-undang, jangan buat ikut suka hati. Kawal kemarahan.
Tidak pasal-pasal, menghadapi tuduhan jenayah. Mujur lelaki yang diserang tidak cedera teruk. Kalau berlaku macam kes pengawal keselamatan diserang yang koma dan meninggal dunia tahun lepas. Haihh! Ikut sangat rasa marah.
Hanya hendak memuaskan nafsu marah yang memuncak. Puasnya seketika secara membelasah dan mengamuk, kemudian kesannya berpanjangan. Tambah teruk lagi.
Dalam hidup kita ini, mudahnya perjalanan hari-hari hidup kita. Kita yang tentukan. Payahnya perjalanan harian juga kita yang tentukan. Kalau jenis cari pasal dan menyalahkan semua orang, bagaimana hari-hari kita akan tenang.
Sumber: Nor Zabetha