Alhamdulilah, semalam Mahkamah di Johor putuskan kes berpihak kepada anak guam saya.
Tuntutan terhadap pentadbir pusaka yang tidak melaksanakan tugas. Hutang si mati tidak dibayar dari aset si mati yang diuruskan oleh pentadbir pusaka.
Walhal si mati meninggalkan rumah sewa dan aset tanah yang mempunyai pendapatan bulanan.
Rumah sewa itu dibina dengan pinjaman oleh anak guam saya. Pinjaman yang diberikan adalah hasil pinjaman dari bank menggunakan nama anak guam saya. Sewaktu hidup, si mati buat bayaran tetapi terhenti selepas kematiaannya.
Pentadbir pusaka yang menguruskan harta tahu tentang hutang ini tetapi tidak buat bayaran dengan menggunakan hasil kutipan tanah dan rumah sewa si mati.
Saya percaya pentadbir pusaka tidak menjalankan tugasnya dengan betul dan terdapat perkara yang dipertikaikan berkaitan pengagihan pendapatan dari aset si mati, sehinggakan pewaris-pewaris lain menyaman di mahkamah untuk tuntutan kes lain.
Saya ada tanyakan sama ada dia tahu apa tugas dan tanggungjawab sebagai pentadbir pusaka. Jelas jawapannya iaitu menjalankan dengan amanah dan perlu berbincang dengan ahli keluarga. Teorinya superb tetapi bab amalan dan praktis, tidak sama langsung.
Saya tanya juga kiraan pendapatan dari aset si mati dan bagaimana duit diagihkan. Jawapan yang bercanggah. Kiraan yang tidak selaras dan penjelasan yang tidak munasabah.
Waktu bertanya soalan di mahkamah, kadang-kadang sempat saya selit juga nasihat-nasihat selain tanya soalan.
“Inilah masalah bila hendak jadi pentadbir harta. Semua asyik pikir untung dan bahagi-bahagikan tetapi hutang tak mau kira. Sedangkan hutanglah si mati nanti yang dihitung di sana”. Geram juga kadang-kadang. Selalu terjadi kes begini.
Ada kes saya pernah dirujuk, salah seorang waris adalah OKU Sindrom Down. Habis bahagian waris ini disapu oleh pentadbir pusaka. Haih!
Begitulah selalunya dalam kes harta peninggalan si mati. Waktu hidup, jarang-jarang sekali adik-beradik bertanya khabar. Kalau si mati susah pun, bukan dia yang membantu dan orang lain yang pinjamkan wang.
Bila si mati meninggal dunia. Bukan main laju menawarkan diri jadi pewaris. Hasil dan pendapatan dikira. Hutang diketepikan sedangkan orang lain yang berkorban memberi hutang.
Mujur anak guam saya tidak duduk diam dan ingin menuntut keadilan. Akhirnya mahkamah memutuskan agar pentadbir pusaka perlu membayar semua nilai yang terhutang dari aset si mati dengan kos.
Pentadbir yang tidak amanah boleh disaman dan jika dia salahgunakan harta si mati, waris atau pemiutang boleh menuntut dari pentadbir ini.
Begitulah rencah kehidupan. Semoga menjadi iktibar kepada kita semua.
Sumber: Nor Zabetha